Tempur keluaran Sept mengulas mengenai kewujudan blog-blog pertahanan. Gambar blog saya turut dimuatkan. Obefeind, sekarang kita dah sama taraf, blog hang dulu kuar kat Utusan, sekarang blog aku keluar kat majalah, hahahaha.
MY BLOG, THE MAKING OF AND BEHIND THE SCENE SCENARIO
1. Pejam celik rupanya sudah setahun saya menjadi blogger pertahanan pada Ogos lepas.
2. Masa mula-mula nak buat, saya tidak bersemangat, lebih kepada ikut-ikut kawan terutama apabila sahabat saya “Sam” membuat blog http://ondscene.my lebih awal dari saya. Saya masa itu terfikir hendak buat blog mengenai misteri, hantu atau UFO.
3. Saya tidak melihat ada pembaca yang minat pertahanan kerana hampir kesemua blog menceritakan perihal politik atau hal peribadi. Sebelum menjadi blogger, saya selalu membaca blog pertahanan Asia di http://asiandeftech.blogspot.com/. atau forum Gempur Wira sebelum mereka memperkenalkan sistem password yang menyebabkan saya terhalang dari memasuki forum tersebut.
4. Cetusan membuat blog sebenarnya diutarakan oleh blogger terkenal, ROCKY (rockybru.com) ketika saya menghadiri satu kursus anjuran Celcom di JB pada April, 2008. Rocky menjadi penceramah pada masa itu, beliau mengalakkan saya membuat blog.
5. Saya sebelum ini ada beberapakali bersapa dengan Rocky di salah sebuah kelab (bukan kelab malam) di Kuala Lumpur, beliau memakai motorsikal superbike Aprillia 1,000cc berbanding saya yang menggunakan superbike jenis kecil (kini tersadai pasal saya lebih banyak pakai kereta…kalau nampak superbike naked dengan semua body di cabut dan tinggal rangka kecuali tangki minyak, berwarna hitam kusam maka itulah saya).
6. Satu hari ketika sedang bersantai di Port Dickson memikirkan poket yang kosong dan tidak berduit, Sam menghubungi saya bahawa blog saya sudah ada pengikut pertama iaitu Hazrey (http://bapak-gulagula.blogspot.com/) dari Johor Bahru. Blogger yang kena halau dari masjid pasal amik gambar Mawi dan Ekin nikah. Kami kemudian berpeluang lepak bersama di KL ketika beliau ada urusan perniagaan bersama isteri.
7. Sam meminta saya update blog segera kerana sudah ada follower. Malam itu juga, dengan rasuah 10 batang rokok lari cukai ke dalam mulut, saya menyiapkan artikel-artikel saya di tepi pantai Port Dickson terutama analisis mengenai kereta kebal.
8. Kemudian saya menerima emel dari Obefiend (http://obefiend.blogspot.com/) dan bermulalah episod hidup saya sebagai blogger.
9. Episod paling ngeri adalah apabila blog saya kena hack. Bab hack ini saya tidak minat nak cerita.
10.Saya bukan menulis blog untuk suka-suka. Saya menulis untuk memberi INSPIRASI. Jadi saya gunakan bahasa yang mudah dan tidak terlalu serius supaya mudah orang Melayu terutama anak-anak kampung membaca dan memahami message yang hendak saya sampaikan.
11.Housestyle pula yang menggunakan angka pada setiap para sebenarnya membuktikan kekaguman saya dan ditiru dari laman chedet.cc milik pejuang bangsa dan inspirasi saya iaitu Tun Dr Seri Mahathir Mohamad.
12.Untuk menulis isu pertahanan bukan mudah.Kawan-kawan saya banyak membantu terutama yang menjadi MIO dan broker senjata serta aktivis politik dari Umno dan PKR (Saya tidak pasti kalau ada kawan saya yang ahli PAS). Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hafiz, Ustaz Adam, Fairuz Library, Komander Husni, Sam, Salleh, Rozimal Malakan serta beberapa orang lagi.
14.Bab kerahsiaan, saya dikritik hebat kerana dikatakan mendedahkan rahsia kerajaan. Sebenarnya saya tahu yang mana rahsia besar, sederhana atau rahsia kecil dan mana tidak. Saya tidak mendedahkan sebarang peta, frekuensi radio atau apa-apa sahaja dokumen sulit yang di stamp dengan perkataan “SULIT” atau “RAHSIA”. Saya sudah diberi pendedahan mengenai ISA dan OSA sejak dari lama dahulu.
15.Ada artikel saya yang tidak berpihak kepada kerajaan atau Kementerian Pertahanan Malaysia. Secara keseluruhan, banyak artikel saya yang mempertahankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menyokong hasrat serta kehendak kerajaan.
16.Isu yang diutarakan kadang-kadang memerlukan saya membuat temuramah dengan pakar-pakar yang berkaitan tetapi nama-nama mereka tidak dapat disebutkan atas sebab-sebab perundangan. Saya bertemu dengan mereka yang terdiri dari kenalan saya bukanlah semata-mata untuk blog tetapi lebih kepada minat dan bertanya khabar (sambil menyelam sambil minum air), mereka sendiri tidak tahu saya mempunyai blog.
17.Memang blog saya bukan blog pertahanan yang profesional. Kalau nak profesional, bacalah Asia Defence Journal atau Janes Defence malah banyak blog dan forum pertahanan yang lebih baik diluar sana. Anggap sahaja blog saya yang kerdil ini sebagai bacaan alternatif atau hiburan ringan.
18.Saya juga berterima kasih kepada pembaca yang rajin meninggalkan komen dan emel. Setiap komen anda saya baca sebenarnya dan setiap emel saya balas, terima kasih juga kepada pengemel saya yang banyak memberikan bantuan dari bentuk gambar dan juga informasi.
19.Saya masih bertatih dalam dunia penulisan blog dan ada kalanya tercetus perbezaan pendapat, politik dan kata-kata bersifat rasis. Mengenali pembaca ini, telah mematangkan saya dan saya berasa rendah diri apabila blog saya dibaca dan dirujuk oleh peminat pertahanan dari Argentina, Israel, Thailand, Indonesia, Singapura sehinggalah kepada kawan-kawan dari kalangan kaum Cina walaupun saya menulis dalam bahasa Melayu. Pelik memang pelik.
20.Ada yang bersusah payah menggunakan Google Translator untuk mengalih bahasa dalam blog saya ke bahasa ibunda mereka. Sekarang baru saya tahu kegunaan Google Translator, kepada pembaca lain, anda boleh membuat eksperimen sendiri dengan Google Translator untuk mengalih bahasa artikel luar negara atau dalam bahasa asing yang kita tidak faham.
20.Kesahihan fakta. Saya sebenarnya amat mengalakkan pembaca memeriksa fakta saya dua kali sebelum menerimanya bulat-bulat. Saya sendiri membuat pemeriksaan berkali-kali apabila membaca blog lain. Sebenarnya tidak ada sumber bacaan yang lebih baik dari majalah atau akhbar yang lebih kredibel kerana penulis mereka tertakluk kepada akta, etika dan undang-undang.
21.Kalau internet menawarkan bacaan yang lebih sahih dari media tempatan. Ini bukan satu pendapat yang tepat, semua orang boleh menjadi penganalisis tetapi bersediakah mereka mempertahankan pendapat mereka jika tindakan diambil?
22.Akhir sekali, selamat berpuasa. Maaflah kerana melalot hari ini, rasa tidak sedap hati pulak kerana saya telah ditugaskan untuk ke perbatasan bersama-sama dengan pasukan tentera dan polis kita di Timor Leste pada Ahad ini.
23.Bila tiba bulan puasa ini, saya sebenarnya lebih suka duduk di rumah atau opis tapi pihak polis dari Bukit Aman mahukan seseorang yang brutal, jadi saya telah dihubungi hari ini dan akan bergerak bersama mereka selama 3 hari. Nasib baik salah seorang pegawai polis yang terlibat dalam misi ini merupakan kenalan lama, nasib baikkkk..kalau tidak boringlah tidak ada member melawak.
24.Ini mesti kerja ngeri pasal tu bos hantar aku ke Timor Leste ni. Aduuu…risau risau. mesti naik kapal terbang buruk dan tidak ada pramugari cantik.