Nyala
Rooikat
Pandur (kesemua gambar di atas dipetik dari internet dan tidak menggambarkan versi yang akan dibeli oleh Malaysia kerana saya sendiri tidak tahu versi apa yang akan dipilih)
KERETA PERISAI BARU UNTUK TENTERA DI LEBANON
1. Pilihanraya kecil Bagan Pinang makin dekat, maka dengan itu macam-macamlah isu dan tuduhan yang dikeluarkan dan ini termasuk penggunaan kereta perisai Condor dan Sibmas yang dikatakan tidak selamat untuk anggota tentera kita yang sedang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
2. Tuduhan termasuklah kerajaan sengaja membahayakan nyawa anggota tentera kita dengan
membiarkan mereka menggunakan kenderaan yang sudah berusia lebih dari 30 tahun dan tidak sesuai dengan senario ancaman hari ini, apa lagi untuk berhadapan dengan kekuatan kuasa tempur tentera Israel dan gerila-gerila Hamas.
3. Saya jarang menyokong tuduhan pembangkang, tetapi mungkin isu kali ini mempunyai kebenarannya. Saya seperti biasa menyemak perkara ini berkali-kali dengan menghubungi
kawan-kawan saya yang terlibat secara langsung dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyiasat dan mengulas isu sebenarnya yang berlaku.
4. Sebenarnya dari apa yang dimaklumkan kepada saya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa melawat tentera kita di Lubnan pada Julai lepasu telah melihat akan masalah ini dan berjanji untuk membeli kereta perisai baru bagi menggantikan Condor serta Sibmas.
5. Pembelian kereta perisai baru ini akan didatangkan dalam Bajet Kecemasan, sama seperti apabila kerajaan membeli sebanyak 111 buah K-200 KIFV kereta perisai runut dari Korea Selatan untuk tentera kita yang berkhidmat di bawah PBB di Bosnia Herzegovina (pembelian K-200 menggunakan bajet kecemasan).
6. Untuk kegunaan tentera Malaysia di Lebanon, saya difahamkan buat masa sekarang dua syarikat antarabangsa sudah pun menghantar tender untuk pembelian 30-35 buah kereta perisai bagi menggantikan Condor dan Sibmas di Lebanon.
7. Syarikat-syarikat itu adalah Styer Daimler-Puch Spezialfahrzeuge (SSF) yang mengeluarkan kereta perisai PANDUR serta kereta perisai di bawah syarikat Denel (Afrika Selatan), kemungkinan jenis ROOIKAT 76 atau 105.
8. Kesemua kereta perisai baru ini bersifat 6X6 atau 8X8.
9. Saya difahamkan, tentera Malaysia di Lebanon ada menggunakan sejenis kenderaan perisai dari jenis NYALA yang dikeluarkan oleh Afrika Selatan dan diberi “pinjam” oleh PBB sendiri dalam jumlah lebih kurang 6 buah tetapi perkara ini tidak dapat disahkan dan apakah status kenderaan itu dalam inventori tentera Malaysia di Lebanon.
10. Jika kesemua maklumat yang disampaikan kepada saya itu benar, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Pertahanan yang baru itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana benar-benar prihatin dan mengambil berat dengan isu-isu kelengkapan tentera kita walaupun beliau masih “bertatih” dalam dunia pertahanan.
11. Kereta-kereta perisai baru dan moden ini diharap dapat membantu tentera kita di Lebanon, kerana walaupun mereka diletakkan dalam zon selamat tetapi konflik boleh tercetus pasa bila-bila masa sedangkan kereta perisai lama tentera seperti Condor belum tentu dapat menahan robekan peluru AK47 Hezbollah (peluru AK-47 ada dikeluarkan bentuk amour piercing), RPG atau senjata-senjata milik tentera Israel dan dari serangan jerangkap samar di sana.
MASALAH CONDOR DAN SIBMAS
12. Untuk memberi pandangan yang lebih adil, di sini saya ingin mengupas mengenai isu kereta perisai Condor dan Sibmas dan saya harap, jika ada pihak yang mahu menggunakan artikel ini, gunakan keseluruhannya termasuk bab 1 hingga 11.
13. Kedua-dua kereta perisai di atas sudah pun berusia lebih dari 30 tahun ketika ATM membeli secara besar-besaran kenderaan ini melalui program PERISTA pada tahun 80an dahulu (Condor sebanyak 460 buah dan Sibmas 184 buah).
14. Sebelum isu kelemahan kereta perisai ini dikeluarkan oleh laman-laman blog pembangkang, saya ada dengar juga masalah Condor dan Sibmas ini.
15. Condor misalnya merupakan sebuah kenderaan yang sukar dikendalikan pada kelajuan tinggi dan mudah terbalik (Ini orang ceritalah, saya sendiri tidak pernah berbual dengan pemandu kenderaan kereta perisai Condor atau Sibmas) tetapi memang ada gambar-gambar kenderaan itu terbalik dalam blog pembangkang.
16. Kelemahan Condor misalnya nyata dan jelas apabila gagal melindungi tentera Malaysia yang berada di dalam kenderaan itu seperti yang terjadi dalam peristiwa Battle of Mogadishu di mana seorang perwira kita gugur akibat terkena hentaman peluru RPG dan kenderaan itu seterusnya terbakar.
17. Saya ada dengar, sebagai tindakan standard, kesemua kenderaan yang rosak dalam serangan itu dimusnahkan dengan letupan oleh tentera kita dalam satu operasi khas pada hari-hari berikutnya. Kesemua diletupkan di “situ”.
18. Bagaimanapun, kita janganlah panik dengan kelemahan-kelemahan ini kerana kegunaan kereta perisai seperti Condor dan Sibmas di sana sesuailah dengan tugas pengaman tentera Malaysia.
19. Saya tidak rasa tentera Malaysia akan terlibat secara langsung dengan pertempuran secara berhadapan dengan tentera Israel atau Hezbollah.
20. Tugas mereka adalah mengawal keamanan dan kereta perisai Condor serta Sibmas amat sesuai dengan tugas-tugas ini iaitu rondaan.
21. Walaupun ATM sudah dilengkapkan dengan kereta-kereta perisai tempur yang lebih baik seperti K200 dan Adnan tetapi sifat mereka yang merupakan kenderaan armor berunut akan merosakkan permukaan jalan raya.
22. Kerajaan Malaysia sudah tentu tidak mahu membayar kos ganti rugi dan baik pulih pada permukaan jalan milik negara Lebanon jika kereta perisai Adnan dihantar untuk rondaan di sana.
23. Masalah kenderaan Condor dan Sibmas ini bukan sahaja terletak pada rekabentuk armor yang lemah, saya difahamkan enjinnya juga mengalami masalah dan kerana itu, amat-amat tidak berbaloi untuk dinaiktaraf dan lebih baik ATM membeli terus kenderaan baru menggantikan mereka.
24. Saya berharap, pembelian 30-35 buah kenderaan perisai baru bagi menggantikan Condor di Lebanon akan menjadi langkah permulaan untuk pembelian besar-besaran kenderaan itu di dalam inventori ATM.