EPISOD 1 : NEGARA ISLAM DAN SENJATA BUATAN SENDIRI
(artikel ini digunakan sebagai pengenalan sahaja dan pembaca boleh mendapatkan maklumat
terperinci melalui internet)
1. Walaupun dunia Islam merintis kepada pelbagai strategi dan penggunaan senjata seperti meriam dan letupan pada satu masa dahulu tetapi kemegahan ini akhirnya luntur pada saat-saat akhir kejatuhan Empayar Turki Othmaniah.
2. Hari ini hampir semua negara Islam bergantung kepada import senjata dan ini termasuklah negara kita, sedangkan Singapura yang selalu dijadikan penilaian piawaian untuk Malaysia sudah pun membina industri pertahanannya yang kukuh dan sudah mula mengeluarkan senjata untuk pasaran dunia seperti raifel SAR 21 dan
SAR 80,sistem meriam bergerak Pegasus, sistem UAV FainTail, meriam FH2000 serta banyak lagi.
3. Berikut merupakan sebahagian daripada pengeluar senjata dunia Russia, Ukraine, Amerika Syarikat (AS), China, Jerman, United Kingdom, Peranchis, India (kereta kebal Arjun dan misil Bramos), Afrika Selatan (sistem meriam G5 dan helikopter Rooivalk), Korea Selatan (kereta kebal K1), Swiss (raifel tempur famili SIG), Poland (PT91), Itali (kapal perang dan pesawat Aermacchi), Israel (kereta kebal Merkava dan pesawat pejuang Kfir), Australia (kapal selam Colins), Kanada (pesawat Caribou), Argentina (pesawat Pucara), Brazil (sistem Astros), Singapura (raifel SAR) serta beberapa buah negara lain. (Nota Penulis : Hanya sebahagian senjata dinamakan sebagai rujukan di sini)
4. Malangnya dari puluhan negara yang mempu mereka bina sistem senjata mereka sendiri termasuk untuk dieksport, hanya Iran, Pakistan dan Turki sahaja yang mewakili negara Islam.
5. Iran mungkin berada di tangga pertama diikuti oleh Pakistan dan Turki, ketiga-tiga negara ini dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk mencipta sistem senjata mereka sendiri yang mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
6. Indonesia dan Arab Saudi boleh dikategorikan dalam liga yang sama dengan negara di atas tetapi negara-negara ini belum mampu mereka bina sistem senjata berteknologi tinggi untuk dipasarkan. Industri pertahanan Indonesia biasanya menfokus kepada kegunaan tempatan dan pembuatan senjata dengan izin negara pengeluar atau pencipta asal (berlesen).
7. Iran mula membangunkan industri pertahanannya pada zaman Shah Iran tetapi terhad kepada pemasangan sistem bersenjata dengan lesen pengeluar asal seperti dari syarikat AS iaitu Northrop, Littion dan Bell.
8. Selepas zaman revolusi, negara seperti AS dan beberapa buah negara Eropah mengenakan sekatan embargo kepada Iran menyebabkan negara itu tidak dapat memaksimumkan peralatan ketenteraannya seperti F-14 Tomcat (Iran merupakan satu-satunya negara didunia selain AS yang mengoperasikan Tomcat) akibat kekurangan alat ganti.
9. Selepas perang Iran-Iraq, negara itu cuba berpaling kepada Russia dan negara-negara pakatan Warsaw (seperti NATO tetapi blok komunis).
10.Tentera Iran yang sudah biasa dengan peralatan termoden dan berkualiti dari Barat dikatakan tidak berpuas hati dengan tahap kecanggihan peralatan serta servis yang ditawarkan oleh negara-negara ini menyebabkan republik Islam itu terpaksa membangunkan industri pertahananya semula.
11.Kali ini untuk mencipta alat ganti bagi membolehkan pesawat pejuang buatan ASnya seperti F14 Tomcat, F-5E Tiger dan F4 Phantom untuk terbang, mereka berjaya dan dunia terkejut dengan kemampuan ini.
12.Hari ini Iran telah pun berjaya menghasilkan pesawat pejuang mereka sendiri iaitu Azarakhsh, Saeqeh, Fajr termasuk kereta kebal Zulfikar.
13.Setakat ini tidak diketahui sejauhmana kecanggihan peralatan perang yang dihasilkan tetapi pemerhati pertahanan berpendapat, sistem senjata yang terhasil merupakan “reverse engineering” sistem senjata dari AS misalnya, jet pejuang Azarakhsh yang menyerupakai F-5E Tiger.
14.Kesulitan untuk mendapatkan sebarang maklumat dari Iran menyebabkan kemampuan senjata milik negara itu terus menjadi misteri.
15.Walaupun maju, masalahnya Iran diletakkan bersama dengan negara “Paksi Kejahatan” oleh AS dan ini menyulitkan usaha Iran untuk memasarkan produk ketenteraannnya.
16.Pada DSA 2008 di Kuala Lumpur, syarikat senjata dari Iran dipaksa untuk menarik diri selepas ada syarikat senjata dari negara lain mengadu bahawa mereka telah melanggar syarat sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan mempamerkan model UAV dan peluru berpandu mereka.
17.Syarat PBB berdasarkan kepada resolusi 1747 dan 1803 menghalang Iran dari memindahkan teknologi atau menjual senjata mereka.
18.Pakistan pula memulakan industri pertahananya selepas merdeka, pada ketika itu, kilang untuk menghasilkan peluru kebanyakkaannya terletak di dalam wilayah India.
19.Semua pembelian peluru dan senjata terpaksa dibuat melalui United Kingdom (UK) dan ini bakal menyulitkan Pakistan kerana negara ini seringkali berkonflik dengan India yang juga merupakan sekutu rapat UK.
20.Negara itu berperang dengan India pada tahun 1947, 1965, 1971 dan 1999.
21.Hari ini Pakistan berjaya menghasilkan kereta kebal Al Khalid, Al Zazar, APC AL Talha, APC AL Qaswa termasuk pesawat JF-17 Thunder dan K8 Karakorum (usahasama dengan China).
22.Selain dari itu, Pakistan turut menghasilkan bom nuklear.
23.Pakistan meletupkan bom nuklear pertamanya di daerah Balochistan pada tahun 1998 hanya beberapa minggu selepas negara jiran dan seterunya India membuat ujian bom nuklear pertamanya pada 28 May 1998.
24.Penulis pernah sampai ke daerah ini sekitar tahun 2000 dahulu dan pernah menulis satu laporan bagaimana letupan nuklear itu mempengaruhi keadaan cuaca di kawasan itu selama beberapa tahun.
25.Letupan nuklear Pakistan mengejutkan India kerana ujian nuklear negara Islam itu membuktikan senjata pemusnah besar-besaran Pakistan itu lebih canggih dari yang menjadi milik India (Penulis sendiri tidak mengetahui apa yang dimaksudkan “lebih canggih” tetapi kenyataan ini dibuat dari analisis pertahanan yang pernah dibaca penulis beberapa tahun lepas).
26.Pada 1999, penulis ada menemui seorang pegawai risik Pakistan yang menghadiri negara ini semasa satu pameran pertahanan ketika itu.
27.Beliau mendedahkan satu maklumat yang mendatangkan kesan ke atas diri penulis, beliau memberitahu, “Perdana Menteri anda, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi satu-satunya pemimpin Islam dari luar yang menyaksikan ujian letupan nuklear itu dan ia tidak pernah dilaporkan”.
Hak Cipta [email protected]