1. Minggu lepas, saya “pekena” kopitiam Oldtown, Jalan Yap Kwan Seng bersama dengan orang hubungan saya dalam pertahanan negara.
2. Banyak yang kami sembang selepas berbulan tidak berjumpa lantaran isterinya mengalami kemalangan semasa bercuti di Eropah.
3. Yang nyata, tidak ramai kawan-kawan saya dalam dunia ketenteraan yang tahu kewujudan blog saya kerana kalau tidak habislah kena gelak pasal dia orang yang 20 kali ganda handal pun tidak berminat untuk membuat blog pertahanan.
4. Saya berharap lebih banyak peluang untuk bertemu dengan orang-orang hubungan saya terutama rakan dari bahagian risik Angkatan Tentera Malaysia yang kini sudah terputus hubungan lantaran ada yang mengambil pencen awal dan berpindah ke tempat lain.
5. Saya berharap anggota risik ini yang pernah memasuki Myanmar dan beberapa zon keselamatan ketat bersama saya sekitar tahun 2000/2001 dapatlah menghubungi saya semula.
6. Banyak-banyak topik yang kami bualkan, terkeluar pula cerita pasal MIG-29 Malaysia yang kini menghampiri akhir hayatnya.
7. Pesawat yang banyak berjasa pada negara itu dijangka akan ditamatkan perkhidmatannya pada tahun depan selepas berada lebih kurang 15 tahun dalam inventori Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM).
8. Topik ini bukanlah rahsia sangat kerana khabar-khabar angin mengenai perkhidmatan jet pejuang itu sudah pun bertiup kencang, saya harap janganlah ada dari kalangan pihak bertanggungjawab menyoal siasat saya selepas ini seperti yang pernah berlaku pada saya beberapa tahun lepas.
9. Jenuh saya melayan panggilan dari seseorang apabila saya memdedahkan satu maklumat penting mengenai dua kapal selam Belanda dari kelas Zwaardvis yang tersadai di limbungan PSC di Lumut padahal, info itu saya perolehi dari laman web akhbar-akhbar di Belanda.
10.Berbalik kepada MIG-29 tadi, ketiadaan pesawat itu akan melemahkan sedikit sebanyak pertahanan negara kerana ia merupakan satu-satunya jet pejuang bersifat “Interceptor” yang belum pernah ada dalam mana-mana servis angkatan udara di rantau Asia Tenggara sejak dari tahun 80an.
11.Kelemahan ketara MIG-29 Malaysia adalah sifatnya yang “dahaga” minyak dan jarak
penerbangannya juga agak minima (hanya 4,365 liter bahan api dalam tangki dalam kerana itu ia dilengkapkan dengan prob pengisian minyak).
12.Ia bagaimanapun memang sifat semulajadi MIG-29 yang direka untuk tujuan pintasan hasil teknologi dua enjin turbofannya yang sangat kuat.
13.Jika satu dari enjinnya gagal berfungsi, MIG-29 Malaysia masih mampu terbang balik ke pengkalan dengan bantuan hanya dari satu enjin.
TAKTIK MIG-29 FULCRUM MALAYSIA
14.Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) menggunakan taktik untuk mengunakan MIG-29 dalam peranan pemintasan.
15.Sebagai contoh, semasa negara diancam (contoh semasa isu perubatan kepulauan Ambalat dan beberapa isu yang melibatkan Singapura), juruterbang TUDM akan berada di kokpit pesawat 24 jam dan pesawat siap untuk diterbangkan dalam masa kurang dari 5 minit sahaja.
16.Ini disebabkan pesawat Singapura boleh mengebom mana-mana sasaran strategik di Malaysia dalam masa kurang dari 20 minit selepas berlepas dari landasan mereka di pengkalan udara Changi, Tengah atau Paya Lebar.
17.Sebaik sahaja arahan “Scramble” diberikan, MIG-29 TUDM akan berlepas dari landasan dan akan menggunakan keupayaan enjinnya yang berkuasa untuk memecut serta memanjat ruang angkasa ke tahap 50,000 kaki dalam masa hanya beberapa saat sahaja (separuh dari masa yang diambil oleh pesawat F-16)
18.Ia ternyata lebih baik dari keupayaan pesawat F-16 Singapura yang memerlukan masa lebih kurang 254 meter persecond untuk mencecah ketinggian 50,000 kaki.
19.Selepas selesa berada di tahap tertinggi, juruterbang TUDM akan menggunakan keupayaan radar “look-down/shoot-down capability” untuk mencari pesawat musuh yang mungkin terbang rendah di bawahnya.
20.Keupayaan ini digunakan kerana untuk tujuan serangan, pesawat musuh akan membuat
penerbangan profil mendakap permukaan (terrain masking) untuk mengelak dikesan oleh radar primary TUDM.
21.Ada cerita di mana penerbangan berprofil rendah ini membuatkan pesawat terbang searas dengan pucuk pokok dan di dunia, pesawat terbaik untuk melakukan penerbangan ini adalah Panavia Tornado yang turut dilengkapkan dengan radar permukaan 3D.
22.Sebaik sahaja pesawat musuh dikesan oleh keupayaan “look-down/shoot down capability”, juruterbang MIG-29 akan menjunam dan meletakkan pesawat mereka di belakang pesawat musuh kerana serangan dari hadapan merupakan kelemahan ketara MIG-29.
23.Saya berkata demikian kerana radar hadapan MIG-29 adalah berkeupayaan rendah iaitu pada jarak lebih kurang 70 kilometer sahaja dan disebabkan ketidakupayaan ini juga, penganalisis pertahanan tempatan menolak kemungkinan peluru berpandu “Beyond Visual Range” sudah berada dalam inventori TUDM satu ketika dahulu (Radar F-16 boleh kesan sejauh 150-300 kilometer).
24.Ada juga laporan yang menyatakan, disebabkan ketidakupayaan radar hadapan MIG-29, umum sering menyaksikan formasi penerbangan MIG-29 yang bercampur dengan pesawat pejuang ringan Bae Hawk.
25.Dalam formasi ini, pesawat Hawk yang mempunyai keupayaan radar yang lebih baik akan menyuluh apa sahaja rintangan yang berada di hadapan formasi.
TAMAT PERKHIDMATAN
26.Jika dahulu tugas-tugas “interceptor” atau pintasan ini diberikan kepada pesawat MIG-25 Foxbat yang pernah mengerunkan dunia barat semasa perang dingin dahulu.
27.Kewujudan MIG-25 telah banyak memecahkan rekod penerbangan misalnya ia merupakan pesawat yang paling laju malah kelajuannya pernah menyelamatkan seorang juruterbang Iraq yang memecut meninggalkan peluru berpandu jet pejuang Amerika Syarikat yang sedang mengejarnya.
28.Rupa-rupanya MIG-25 tidak secanggih mana, ia hanya diberi enjin turbofan berkuasa tinggi tetapi tidak lincah dan radius pusingannya juga jauh (tidak sesuai untuk pertempuran “dogfight”).
29.Memang pesawat-pesawat dari Russia dibina sedemikian rupa, enjinnya berkuasa tetapi cepat barai dan intergriti struktur pesawat tidak bertahan lama kerana itu jarang kita terdengar ada negara yang membeli pesawat pejuang terpakai dari Russia.
30.Kebanyakkan negara membeli pesawat pejuang terpakai dari Amerika Syarikat kerana pesawat buatan mereka lebih bertahan lama kecuali selepas dipakai dengan enjin berkuasa tinggi yang tidak sesuai dengan kemampuan struktur pesawat.
31.Ini ternyata benar dalam kes A4 Skyhawk Singapura, republik itu telah menaiktarafkan Skyhawk lamanya dengan pemasangan enjin F404-GE-100D yang sangat berkuasa menggantikan enjin asal J65.
32.Akibatnya selepas beberapa tahun, keretakan pada struktur pesawat A4 Singapura yang diberi nama baru SuperSkyhawk mula dikesan pada tahap mikro dan ini sangat membahayakan.
33.Sama seperti MIG-29 Malaysia, selepas beberapa tahun pesawat ini sudah tidak sesuai untuk dinaiktaraf disebabkan belanja yang sangat besar.
34.Struktur pesawat ini juga tidak sekuat seperti baru dan kerana itu banyak negara “memuziumkan” MIG-29 atau memilih pesawat baru menggantikan Fulcrum ini sedangkan usia perkhidmatan MIG ini adalah sezaman dengan F-16A.
PERSOALAN
35.Jika benar MIG-29 Malaysia akan dikeluarkan perkhidmatannya pada tahun hadapan, adakah negara ini berpeluang melihat penambahan satu lagi skuadron baru Sukhoi dimasukkan ke dalam perkhidmatan.
36.Jika tidak Sukhoi pun, adalah menjadi harapan penulis untuk melihat satu skuadron baru F-18 Superhornet (18 buah) memasuki perkhidmatan TUDM menggantikan pesawat F-18 Hornet sedia ada.
37.F-18 Hornet TUDM sekarang ini masih tidak lengkap sebagai satu skuadron (hanya 8 buah) dan pihak Boeing sendiri tidak pernah berputus asa untuk membuat tawaran menarik kepada Malaysia terutama sekali pemberian peluru berpandu BVR AIM-120 yang sudah pun dimiliki oleh Singapura dan Thailand.
38.Superhornet merupakan pesawat “Deep Interdiction”, ia ternyata sangat baik sebagai pesawat pejuang dan penyerang kerana itu AS mengklafikasikan pesawat ini sebagai F/A-Hornet iaitu F untuk Fighter dan A untuk Attack.
39.Ini juga bersesuaian dengan hasrat TUDM untuk mempunyai pesawat-pesawat MRCA dalam inventorinya.
NOTA PENULIS : CERITA MIG-29 DITARIK DARI PERKHIDMATAN INI BELUM PERNAH DISIARKAN OLEH MANA-MANA MAJALAH DAN AKHBAR, EKSKLUSIF UNTUK PEMBACA MILITARYOFMALAYSIA.
SATU ANALISIS RASMI AKAN DIBUAT TIDAK LAMA LAGI BAGI SIARAN MEDIA TEMPATAN, BUAT MASA SEKARANG PENULIS SEDANG MENGUMPUL MAKLUMAT LENGKAP DAN PIHAK-PIHAK YANG BOLEH MEMBERI ULASAN MENGENAI BERITA INI