1. Saya rasa lucu apabila ramai pihak yang melenting sebaik sahaja Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa kaum bukan bumiputera di negara ini tidak patriotik berdasarkan bilangan mereka yang kurang dalam Angkatan Tentara Malaysia (ATM) khususnya tentera darat.
2. Sebagai seorang yang terpelajar dan bijak berpolitik, saya tidak rasa beliau mahu menuduh bukan bumiputera di negara ini tidak patriotik apabila membuat kenyataan itu semasa menghuraikan sebab-sebab bilangan bukan Melayu (khususnya Cina dan India) hanya berjumlah 2 peratus dalam tentera darat.
3. Bagi saya Zahid mahu mencabar. Beliau mahu ramai orang bukan bumiputera menyertai tentera tetapi kita gagal melihat perkara ini.
4. Cabaran itu bermakna, kedatangan kaum bukan bumiputara dialu-alukan dan amat diperlukan tetapi mungkin, Zahid mempunyai fakta dalam isu ini dan fakta itu akan didedahkan tidak lama lagi.
5. Kita disekat dengan mentaliti bahawa kerjaya dalam tentera tidak mempunyai masa hadapan tetapi tahukah anda bahawa gaji yang paling lumayan adalah gaji seorang anggota atau pegawai tentera dan berada pada tempat nombor satu dalam keseluruhan gaji perkhidmatan kerajaan.